Pelakon bertubuh sasa yang juga anak penyanyi serta pelakon popular 1970-an, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin atau lebih dikenali sebagai Cico, 32, tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana parti politik selepas gambarnya tersiar bersama Bob Lokman di beberapa blog kebelakangan ini.
Malah, anak tunggal Uji Rashid itu memberitahu Metro Ahad, dia tidak berminat berpolitik kerana kurang arif dalam bidang itu yang disifatkannya sebagai rumit.
“Itu hanya kebetulan dan gambar itu dirakam di Masjid Al Azim, Pandan, Selangor selepas kuliah Maghrib.
“Saya memang sering ke masjid berkenaan kerana ia berdekatan rumah... jika hendak kaitkan saya dengan politik, saya minta maaf kerana saya kurang arif mengenainya,” katanya ketika ditanya mengenai komen blog berkenaan yang mendakwa kehadiran Cico hanya kebetulan, tapi mungkin juga dia menerima hidayah Pas yang kini mahu mengumpul seberapa ramai artis bagi menarik perhatian pengundi muda.
Berdasarkan gambar berkenaan, Cico dilihat berdiri di tengah-tengah antara Bob dan seorang lelaki sambil tertawa.
“Kami hanya terserempak dan rasanya tiada salah saling menegur kerana mengenali satu sama lain.
“Tujuan saya ke masjid adalah menunaikan solat jemaah kerana ia (masjid) berdekatan tempat tinggal saya dan bukan kerana ada undangan khas.
“Terus terang, saya kurang bijak dalam hal politik kerana ia perkara rumit. Malah, saya gembira dengan kerajaan pimpinan sekarang dan saya ke masjid kerana ia tuntutan agama,” katanya.
Ditanya mengapa beliau kini jarang dilihat di layar perak atau kaca televisyen, beliau berkata, aktiviti seninya kini terhad dan hanya menumpukan perhatian jika menerima tawaran dengan skrip sesuai.
“Saya belum bersara daripada dunia lakonan, malah belum puas berlakon. Kemunculan saya kali ini berpandukan pada tawaran skrip drama atau filem sesuai.
“Jujur, saya belum terfikir untuk bersara kerana lakonan adalah minat saya. Cuma sekarang saya sibuk dengan hobi menyelam,” katanya.
Selepas menyepikan diri, dia kini lebih menekankan kepada kualiti dalam setiap lakonannya berbanding sebelum ini.
“Kalau dulu saya menerima tawaran tanpa mengambil kira skrip atau watak kerana pendapatan kurang stabil namun selepas ekonomi saya stabil, saya lebih berhati-hati dalam pemilihan drama atau filem, menyebabkan kehadiran saya di kaca televisyen berkurangan,” katanya.
-Hmetro
Ahad, 24 April 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan