Entry Terbaru Dari Bawah Tanah

Ahad, 3 April 2011

SPR Sedang Mengkaji Penggunaan Biometrik Sahkan Pengundi

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang mengkaji kaedah penggunaan biometrik yang membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata, kaedah itu didapati mampu mengesan sekiranya berlaku pengundian berganda selain dapat menjamin ketelusan, namun pelaksanaannya perlu kajian mendalam memandangkan ia membabitkan kos yang tinggi.

"Itu tidak bermakna kaedah sedia ada tidak relevan, selamat serta menjamin ketelusan pengundian yang dilaksanakan meskipun terdapat tuduhan bahawa berlakunya pengundian berganda.
"Sehingga kini tidak ada satu pun kes yang melibatkan petisyen pilihan raya dan dibawa ke mahkamah berkaitan dengan pengundian berganda," katanya ketika ditemuramah BERNAMA dan RTM di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, SPR pernah memperkenalkan penggunaan dakwat kekal untuk Pilihan Raya Umum ke-12, bagaimanapun terpaksa dibatalkan cadangan penggunaannya atas sebab-sebab keselamatan.

"Cadangan itu (penggunaan dakwat kekal) juga bercanggah dengan Peruntukan Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak seseorang pemilih berdaftar untuk mengundi, bermakna hak itu tidak boleh dinafikan kecuali jika pemilih berdaftar itu hilang kelayakan untuk mengundi di bawah undang-undang," katanya.

Mengulas mengenai pembersihan daftar pemilih daripada senarai pemilih yang meninggal dunia, Abdul Aziz berkata SPR setiap hari melakukan proses pembersihan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Beliau berkata, SPR tidak boleh memotong nama seseorang pemilih berdaftar itu tanpa mendapat maklumat yang sahih dan maklumat itu hanya dapat diperolehi daripada JPN.

Justeru, katanya, SPR memohon kerjasama mana-mana waris untuk melaporkan kematian kepada JPN.

"Apa yang berlaku sekarang ramai waris yang tidak melaporkan kematian dan sering berpendapat permit kubur yang diperolehi daripada polis adalah sijil kematian sedangkan sijil kematian itu hanya boleh dikeluarkan oleh JPN.

"Isu inilah yang sering dimainkan pihak tertentu kononnya wujud pengundi hantu sedangkan SPR tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada pangkalan data Daftar Pemilih," katanya. - BERNAMA

0 comments:

 
Blogged.my Web Statistics My Ping in TotalPing.com