“Dua minggu sebelum anak saya hilang, saya mengalami beberapa mimpi pelik termasuk pada kali terakhir tidur bersamanya iaitu malam Jumaat lalu.
“Malah, malam itu, anak saya itu menangis dan meraung menyebabkan saya hairan memandangkan dia tidak pernah berkelakuan sedemikian sebelum ini,” kata Kartika Sari Dewi Sukarno, 33, ibu kepada Muhammad Azfar Muhammad Affandi, 9, kanak-kanak yang hilang dipercayai jatuh ke dalam Sungai Perak tengah hari kelmarin.
Muhammad Azfar adalah anak sulung kepada Kartika, wanita yang mencetuskan kontroversi selepas dijatuhkan hukuman sebat tahun lalu kerana meminum arak.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Muhammad Azfar yang mengalami masalah pertuturan dan kecacatan akal dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di kediaman inap desa milik keluarganya di Kampung Jawang, di sini ketika menonton televisyen bersama sepupunya yang lain.
Bagaimanapun, kehilangan itu mencetuskan misteri berikutan tiada jejak tapak kaki ditemui.
Malah, kanak-kanak istimewa itu dikatakan keluar dari rumah dengan tidak memakai baju dan hanya berseluar panjang serta berkaki ayam. Malah, kebanyakan pengamal perubatan tradisional yang membuat tilikan mengenai kehilangan kanak-kanak itu mendakwa Muhammad Azfar ‘disembunyikan’ di dalam hutan berhampiran.
Selain itu, usaha mencari dan menyelamat dijalankan 113 anggota dan penyelamat terdiri daripada Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung juga gagal menemui sebarang jejak hingga petang semalam.
Kartika ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka mimpi pelik dialaminya sepanjang dua minggu lalu adalah petanda kehilangan anak sulungnya itu.
“Saya sering bermimpi ular putih yang bercahaya. Malah, ular itu membelit anak saya sebelum menariknya ke dalam lubang,” katanya.
Katanya, sebelum ini, dia bersama Muhammad Azfar berada di Johor bagi menguruskan persekolahan anak sulungnya itu di sekolah khas.
Beliau berkata, dia mula berada di inap desa milik keluarganya itu sejak sebulan lalu bagi menguruskan usaha membangunkan semula kawasan pelancongan berkenaan.
“Saya harap anak saya selamat ditemui jika hilang di hutan kecil itu. “Saya percaya dia tidak terjatuh ke dalam sungai kerana sepanjang di inap desa ini sejak kecil, anak saya itu tidak berani pergi ke sungai itu.
“Memang dia suka main air, tetapi kami tidak membenarkannya mandi di situ,” katanya.
Menceritakan detik kehilangan anaknya itu, Kartika berkata, ketika kejadian dia di dapur menyiapkan makan tengah hari sementara anaknya bersama anak saudaranya menonton televisyen di dewan.
Katanya, seketika kemudian, semua anak saudaranya pergi ke dapur manakala anaknya dibiarkan seorang diri di dewan.
“Kehilangannya disedari anak saudara saya, Muhammad Ramadan Mohd Ridzwan, 12, selepas gagal menemui kelibat anak saya di dewan itu sekembalinya dari dapur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi semalam berkata, operasi mencari dan menyelamat disambung pagi semalam selepas usaha mencari kanak-kanak itu sejak petang kelmarin tidak berhasil.
Isnin, 9 Mei 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
dgr kat radio td anak dia lemas di sg perak
Catat Ulasan