Entry Terbaru Dari Bawah Tanah

Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita. Papar semua catatan

Isnin, 16 Mei 2011

Pencuri Berjubah | Memalukan Betul!

Empat beranak yang berperwatakan alim dengan berjubah dan memakai kopiah serta bertakbir, tiba-tiba bertukar menjadi ‘syaitan’ apabila masing-masing bersenjatakan parang menyamun stesen minyak di Bandar Permas Jaya, kira-kira jam 1.30 tengah hari, kelmarin.

Dalam kejadian itu, empat beranak yang pernah menyamun di premis sama sebanyak dua kali Jumaat lalu, bertindak lebih ganas apabila cuba mengelar leher pengusaha stesen minyak berkenaan ketika menghalang perbuatan mereka.

Lebih pelik, bukan saja bapa berusia 49 tahun membawa parang, malah tiga anaknya berusia 15, 14 dan lapan tahun turut membawa senjata sama ketika kejadian, manakala isterinya berusia 37 tahun yang berada di dalam teksi bersama anak perempuan berusia 12 tahun dan bayi berusia lapan bulan dikatakan turut berparang.

Menceritakan detik mencemaskan itu, pemilik stesen minyak berkenaan, Sulaiman Che Kutty, 45, berkata, dia yang berada di masjid bergegas ke stesen minyak selepas isterinya yang berada di rumah, dihubungi seorang pekerja memaklumkan kejadian itu.


“Akibat bimbangkan keselamatan pekerja, saya ke stesen sebelum melihat tiga individu berparang menetak meja kaunter dan kotak gula-gula.

Ahad, 15 Mei 2011

Harga Minyak Akan Naik Dalam Waktu Terdekat?

Rakyat diminta bersedia untuk menerima kenaikan harga petrol dan minyak yang dijangka berlaku dalam tempoh terdekat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut terpaksa dilakukan memandangkan kerajaan menanggung beban subsidi yang tinggi ekoran kenaikan harga minyak mentah di pasaran.

Katanya, jika langkah itu tidak diambil, kerajaan akan mengalami defisit yang lebih tinggi pada masa akan datang.

"Hingga sekarang trend dunia tidak nampak langsung tanda-tanda minyak mentah akan turun tetapi ia terus kekal dan terus naik,” katanya.

- Utusan

Penculikan Oleh Abu Sayyaf | Tuntut RM5.6j Dari Isteri Mangsa

Isteri ahli perniagaan Malaysia, Mohd. Nazarudin Saidin, 38, yang diculik di Pulau Jolo, Filipina mendedahkan kumpulan penculik berkenaan telah menuntut wang tebusan sebanyak 80 juta Peso (RM5.6 juta) sebagai syarat pembebasan suaminya.

Mazlina Mohamad, 38, memberitahu, jumlah wang tebusan itu dimaklumkan oleh kumpulan penculik kepada "orang tengah" yang juga salah seorang ejen broker cicak tokek di Malaysia.

Katanya, kumpulan itu pada Khamis lalu turut memberi syarat agar dia membayar sejumlah 5 juta Peso (RM348,317) sebagai "pendahuluan" bagi wang tebusan itu selewat-lewatnya lusa (Isnin ini).

Bagaimanapun, ujarnya, syarat pembayaran mesti melalui orang paling rapat dan dipercayai iaitu salah seorang broker cicak tokek terbabit.

"Apa yang membimbangkan ialah ada pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan komplot penculikan ini.

"Saya pula tidak pernah berpeluang untuk mendengar sendiri suara suami kerana kumpulan penculik itu menghubungi terus salah seorang ejen berkenaan.

"Sebelum ini saya dimaklumkan oleh ejen broker cicak tokek itu supaya jangan laporkan kepada polis tentang perkara itu dan menyerahkan kepada mereka untuk mengumpul dana sebelum membayar wang tebusan itu sendiri kepada penculik berkenaan," katanya.

Ibu kepada enam anak itu berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Merbau Sempah, Sungai Buloh dekat sini hari ini.

Mazlina yang menampung kehidupan dengan menjual kuih tidak menyangka kejadian seperti itu menimpa keluarganya.

Menurut Mazlina, suaminya telah berlepas ke Pulau Jolo pada 27 April lalu bersama seorang lelaki warga Filipina yang juga merupakan salah seorang ejen cicak tokek dan pemergian ke negara itu difahamkan atas urusan perniagaan berkaitan reptilia tersebut.

"Dia (suami) kali terakhir menghubungi anak saya untuk bertanya khabar pada 6 Mei lalu. Saya hanya mengetahui suami saya diculik selepas menonton berita di televisyen pada 10 Mei lalu.

Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan Nazarudin kini ditahan oleh kumpulan Abu Sayyaf.

Pegawai dari Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City, Mindanao, Mohammad Azhar Mazlan memberitahu, Polis Kebangsaan Filipina (PNP) mengesahkan Nazarudin kini dalam tahanan kumpulan tersebut.

Salih Yaakob Sanding Serentak Semua Isterinya?

Hasrat pelakon, pelawak dan penyampai radio SinarFM, Salih Yaacob, 50, untuk mengadakan majlis persandingan secara serentak bersama tiga isteri dan bakal isteri keempatnya nanti masih belum dibincangkan secara bersemuka.

Menurut isteri ketiga, Norfara Wahida Sulaiman, 32, setakat ini dia sendiri masih belum dimaklumkan tentang cadangan daripada suaminya itu.

"Memang saya belum diberitahu apa-apa pun tentang perkara itu dan besar kemungkinan, kami akan berbincang tentang perkara itu.

"Lagi pun, sekarang ini abang (panggilan untuk Salih) sendiri tengah sibuk dengan rakaman dan insya-Allah, kalau benar seperti yang dihajatinya, ia akan dilakukan secepat mungkin," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi, di sini hari ini.

Katanya, apa yang diketahuinya ialah perkahwinan antara suaminya dengan Emi akan dipercepatkan kerana semua orang sudah mengetahui tentang hasrat Salih untuk berkahwin lagi.

Tambah Norfara Wahida, dia sendiri tidak membuat apa-apa persiapan untuk menyambut bakal madunya itu.

"Segalanya bergantung kepada pengantin lelaki sendiri (Salih Yaacob) sebagai ketua keluarga," katanya.

Katanya, jika mengikut perancangan awal, perkahwinan Salih dan Emi dilakukan secara senyap-senyap dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja.

"Tidak tahu pula berita itu boleh tersebar luas dan pantas sebelum tiba masanya.

"Apa pun, biarlah kita menunggu permohonan berpoligami diluluskan oleh mahkamah syariah," katanya yang lebih fokus untuk menjaga anak tunggalnya, Fara Aqeesya, 2, yang disahkan menghidap leukemia.

Manchester United Juara EPL

Manchester United mengesahkan rekod kejuaraan Liga Perdana England ke-19 selepas mencatat keputusan seri 1-1 dengan Blackburn di Ewood Park, sebentar tadi.

United hanya memerlukan satu mata untuk merampas gelaran tersebut daripada Chelsea dan mereka memperolehinya apabila penyerangnya, Wayne Rooney menyempurnakan sepakan penalti pada 17 minit selepas penjaga gol lawan, Paul Robinson menjatuhkan Javier Hernandez.

Terdahulu, United dikejutkan dengan jaringan pembukaan Brett Emerton pada minit ke-20.

Keputusan itu membolehkan United berada tujuh mata di depan pencabar terdekatnya Chelsea dan tidak dapat dikejar dengan saingan berbaki dua perlawanan.

- AFP

Sabtu, 14 Mei 2011

Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine Haram | Ubat Mengandungi Hormon Babi

Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine yang mengandungi hormon babi untuk pesakit jantung adalah haram.

Setiausahanya yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha menegaskan, penggunaan kedua-dua jenis ubat itu ditegah kerana ia dihasilkan daripada sumber yang diharamkan Islam.

''Penggunaan ubat tersebut yang dianggap darurat kepada pesakit jantung bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta-merta ketika pesakit berada pada tahap kronik adalah ditegah.

''Ini kerana pada masa ini terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Othman mengulas tulisan Rozmal Malakan http://waghih.blogspot.com dalam ruangan forum pada 9 Mei lalu bahawa seorang doktor bukan Islam bertanya kepada bapanya yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tampin, sama ada sanggup menerima suntikan hormon babi atau tidak untuk merawat penyakit jantungnya.

Menurut doktor tersebut, hormon babi adalah yang terbaik untuk pesakit jantung kerana dapat mencairkan darah dengan segera.

Bagaimanapun, bapa pengadu memilih untuk tidak menerima saranan doktor tersebut walaupun dikatakan ada juga orang Islam menerima suntikan hormon babi untuk rawatan sakit jantung.

Jelas Othman, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali ke-87 yang bersidang pada 23 hingga 25 Jun 2009 telah membincangkan hukum penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine.

Anggota majlis, katanya, memutuskan Islam menegah penggunaan ubat daripada sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit.

Melainkan ia dalam keadaan tiada ubat daripada sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudaratan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat daripada sumber yang halal ditemui.

''Dalam hal ini, kita sudah ada ubat alternatif iaitu Arixtra. Justeru umat Islam mempunyai pilihan untuk mendapatkan ubat yang halal dan situasi di negara ini juga tidak darurat," katanya.

Kes Lelaki Simbah Asid | Fotofit Suspek Diedarkan Polis

Polis pada Jumaat mengedarkan fotofit seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes menyimbah cecair untuk membolehkan orang ramai mengenalpasti suspek dan membantu pasukan polis memberkas penjenayah tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata fotofit suspek diperoleh berdasarkan lakaran yang diberikan saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Dengan ada fotofit ini kita berharap, orang ramai akan tampil dan membantu kita untuk menangkap penjenayah ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam polis Kuala Lumpur bersama media di sini, Jumaat.

Sementara itu, pada pagi Jumaat satu lagi perbuatan menyimbah cecair berlaku, kali ini mangsanya ialah seorang wanita berusia 30-an di Seksyen 10 Wangsa Maju, di sini.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, wanita berkenaan berada di dalam sebuah kereta dan menurunkan cermin kenderaannya sebelum disimbah cecair oleh seorang penunggang motosikal.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Logistik PDRM berkuatkuasa Rabu lepas, berkata wanita tersebut disimbah dengan cecair berkenaan ketika berada di dalam kereta.

Bagaimanapun, cecair itu tidak melecurkan kulit tetapi menyebabkan gatal.

"Polis masih menyiasat sama ada kejadian ini ada kaitan atau persamaan dengan kejadian simbah asid yang dilaporkan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas pertandingan menembak antara media dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak di sini, Jumaat.

Zulkifli berkata setakat ini terdapat 22 kes seumpama itu dan polis akan menyiasat sama ada ia dilakukan oleh individu yang sama atau tidak.

Rabu, 11 Mei 2011

Bekas Pemain Bola selangor | Saravanan Dipenjara 14 Hari

Bekas pemain bola sepak Selangor, S. Saravanan dihukum penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM300 ketika bertugas sebagai pegawai jualan di Jabatan Jualan dan Pemasaran Guthrie, enam tahun lalu.

Hakim Mat Ghani Abdullah menjatuhkan hukuman tersebut selepas Saravanan, 36, menukar pengakuannya kepada bersalah dan memerintahkan tertuduh dipenjarakan 10 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Saravanan didakwa menerima suapan RM300 daripada Abdul Rahman Mohamed sebagai dorongan membantu mangsa menguruskan pinjaman perumahan daripada sebuah bank bagi pembelian rumah kos rendah milik Guthrie Property Development Holdings Bhd.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat jualan syarikat tersebut di Persiaran Tebar Layar Seksyen U8, Bukit Jelutong di sini pada pukul 5.05 petang, 11 November 2005.

Terdahulu, peguam bela K. Perisamy yang mewakili Saravanan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak, isteri serta ibu bapanya dengan pendapatan lebih kurang RM3,000 sebulan sebagai ejen hartanah.

Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Yusliza Mohd. Yusof memohon hukuman setimpal memandangkan tertuduh telah membuang masa mahkamah kerana hanya mengaku bersalah selepas 10 saksi pendakwaan memberikan keterangan.

Pada 2 Februari 2009, Saravanan dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah sama atas tuduhan bersetuju menerima suapan RM500 daripada Abdul Rahman.

Mangsa Seks | Tiga Kanak-kanak Mahukan Pembelaan

Tiga kanak-kanak termasuk dua beradik yang menjadi mangsa rogol dan cabul bapa saudaranya sejak tiga tahun lalu berada dalam keadaan trauma selepas mengetahui suspek masih bebas dan tidak dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.

Mangsa dua beradik yang ketika itu berusia enam dan sembilan tahun dikatakan dicabul manakala seorang lagi saudaranya dirogol beberapa kali di rumah neneknya di Seksyen 14, Petaling Jaya dekat sini, pada Disember 2008 oleh lelaki itu yang juga seorang anggota polis.

Ibu dua beradik yang hanya mahu dikenali sebagai Maria, 28, berkata sikap anaknya berubah selepas kejadian itu dan sering menggigil serta menangis.

Maria yang berkerja sebagai seorang perunding di Petaling Jaya berkata, keadaan bertambah buruk apabila anaknya meningkat dewasa dan mengetahui perogolnya itu masih bebas dan tidak diambil tindakan.

Beliau berkata, walaupun sudah membuat laporan polis serta dipanggil beberapa kali untuk menjalani prosiding perbicaraan mahkamah sejak tiga tahun lalu, beliau kesal kerana tiada tindakan diambil ke atas suspek selain hanya ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan.

“Siasatan polis dan pemeriksaan doktor yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sah menunjukkan dia adalah perogol dan mencabul kehormatan ketiga-tiga kanak-kanak ini. Mengapa penjenayah masih dibiarkan bebas?,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangsar di sini, semalam.
“Saya sebagai ibu hanya inginkan keadilan dari pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap suspek mengikut undang-undang supaya anak saya gembira seperti kanak-kanak lain,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Bangsar di sini, semalam.

Maria yang berasal dari Kelantan juga memohon supaya Jabatan Pendakwa Raya dapat mempercepatkan prosiding perbicaraan mahkamah untuk menyelesaikan kes ini kerana beliau sudah menghabiskan ribuan ringgit sepanjang menjalani kes itu.

Mengulas lanjut, Maria berkata, pada Disember 2008, ketiga-tiga kanak-kanak itu sering mengadu mengalami kesakitan di bahagian alat sulit mereka.

Selepas dipujuk ibu bapa, mereka mengakui dicabul dan dirogol beberapa kali oleh bapa saudara mereka.

Berang dengan tindakan itu, beliau dan ibu bapa mangsa yang dirogol membuat laporan polis sebelum lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

Bagaimanapun, katanya suspek dibebaskan dengan jaminan RM6,000 dan diarah tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwa.

Sekolah Remaja Hamil Penuh! | Best Ke Sekolah Sini?

Sejak ditubuhkan pada awal September 2010, Sekolah Harapan dan Rumah Harapan (SHRH) Melaka sudah menerima 49 remaja hamil dan bilangannya dijangka meningkat kerana permohonan terus bertambah.

Pengerusi Lembaga SHRH, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata, sepanjang tempoh itu, 28 bayi dilahirkan dengan semua diambil oleh keluarga ibu mereka.

Katanya, sehingga kini, 35 remaja menghuni rumah kebajikan berkenaan dengan sebahagiannya sudah melahirkan anak, manakala bakinya sedang menunggu masa untuk bersalin.

Mereka datang dari seluruh negara dan berusia antara 14 hingga 18 tahun, iaitu 14 dari Johor, masing-masing lapan dari Melaka dan Pahang, masing-masing lima dari Negeri Sembilan dan Kelantan, Terengganu (3), Kuala Lumpur (2) dan masing-masing seorang dari Selangor; Perak dan Sarawak.

Ab Rahaman berkata, setakat ini, 15 orang dalam senarai menunggu untuk memasuki rumah kebajikan berkenaan berikutan jumlah penghuni pada masa ini sudah mencapai bilangan maksimum.

“Kita minta mereka bersabar kerana kerajaan negeri mungkin menimbang untuk menambah kapasiti dan kemudahan sekolah itu, selain bercadang meningkatkan penerimaan penghuni sehingga 50 orang pada satu masa,” katanya.
Ab Rahaman berkata, tahun ini, kos mengurus dan pembangunan sekolah itu dijangka membabitkan kira-kira RM1.1 juta berbanding RM547,171 tahun lalu.

SHRH terletak di Jalan Pegawai dan beroperasi dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang di bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan kos baik pulih RM100,000 dan mempunyai empat kelas, masing-masing sebuah bilik komputer, bilik mesyuarat serta pejabat pentadbiran.

Orang ramai ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIM, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau 06-2881534.

Nama Sekolah Vokasional Ditukar Kepada Kolej

Nama sekolah vokasional akan ditukar kepada kolej vokasional sebagai usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara serta menghapuskan stigma bahawa pengajian vokasional adalah untuk pelajar yang tidak dapat menguasai bidang akademik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan nama itu akan melibatkan pindaan Akta Pendidikan serta rombakan kursus-kursus teknikal dan vokasional, dengan pelajar yang dikeluarkan tidak terbatas di peringkat sijil kemahiran tetapi merupakan lulusan setaraf diploma atau diploma lanjutan.

Perubahan itu, jelas beliau, sedang dikaji daripada pelbagai aspek termasuk kurikulum, tempoh pembelajaran di kolej serta kursus lanjutan yang boleh ditawarkan.

Menurutnya, ia dilakukan antara lain bagi menghapuskan tanggapan bahawa hanya pelajar yang tidak memperoleh pencapaian cemerlang dalam akademik akan disalurkan ke bidang vokasional dan teknikal.

''Kebiasaannya pelajar akan disalurkan untuk mengambil bidang vokasional dan teknikal kalau mereka tak memperoleh pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, maka itulah peluang mereka yang kedua, kalau tak ada peluang lain.

''Ini satu pendekatan yang tidak tepat kerana di negara maju sekalipun aspek vokasional diletakkan sebagai pilihan sama dengan bidang akademik," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, prestasi setiap pelajar akan dinilai dan jika di peringkat awal lagi seperti ketika di sekolah menengah rendah kecenderungan mereka adalah dalam hal yang tidak terlalu akademik, maka pelajar terbabit akan terus disalurkan ke bidang vokasional dan teknikal.

Jelasnya, kalau pun tidak disalurkan ke sekolah vokasional sepenuhnya, mereka boleh mengikuti kursus pra vokasional dalam sistem pendidikan biasa supaya di peringkat awal lagi mereka dapat mengikuti bidang vokasional dan teknikal yang diminati.

Ditanya kemungkinan kolej-kolej vokasional itu menjalin kerjasama dengan institusi lain, Muhyiddin berkata, ia boleh dilakukan dengan institusi pengajian di negara-negara maju termasuk Eropah menerusi pertukaran pelajar dan tenaga pengajar.

- utusan

Isteri Curang | Ditembak Suami Anggota Polis

Berang melihat isteri kesayangan bermesra dengan lelaki lain, seorang anggota polis yang baru selesai menjalankan tugas bertindak di luar dugaan apabila melepaskan tembakan terhadap pasangan terbabit, semalam.

Anggota polis berpangkat koperal itu yang sedang menunggang motosikal dikatakan terkejut apabila melihat kelibat isterinya bersama seorang lelaki di dalam Proton Waja berhampiran rumahnya di Jalan Papar Lama, di sini, kira-kira jam 7 pagi.

Isteri polis terbabit cuba melarikan diri dengan memecut kenderaan, namun dikejar suaminya sambil mengarahkannya memberhentikan kenderaan.

Bagaimanapun, isteri itu tetap memecut keretanya dan dalam keadaan kelam-kabut itu, suaminya melepaskan beberapa das tembakan, namun tidak mengenainya.

Tindakan luar dugaan suaminya itu menyebabkan si isteri terus memecut kenderaan ke Balai Polis Kinarut dan membuat laporan polis.

Selasa, 10 Mei 2011

Microsoft ambil alih Skype

Microsoft dijangka mengumumkan langkah terbaru syarikat itu mengambil alih pelopor sistem telefon internet, Skype, seterusnya memperlihatkan usaha Gergasi perisian Amerika Syarikat (AS) untuk kekal relevan dalam dunia dalam talian yang kini didominasi Google dan Apple.

Laman web teknologi, All Things Digital memetik sumber, berkata Microsoft dijangka mendedahkan pengambilalihan itu awal hari ini (waktu tempatan).

Ketua eksekutif Microsoft, Steve Balmer, dilaporkan individu yang memainkan peranan utama terhadap usaha itu, yang mana nilai pengambilalihan dianggarkan AS$8.5 billion.

Belanjawan 2012 | 7 Oktober 2011

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Belanjawan 2012 akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober 2011.

Beliau berkata, Belanjawan 2012 akan menjurus ke arah mencapai negara pendapatan tinggi pada 2020.

"Marilah kita bekerja bersama-sama untuk menjadikannya satu realiti," katanya ketika berucap pada majlis Konsultasi Belanjawan 2020 di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Majlis Konsultasi Belanjawan 2012 bertemakan 'Transformasi Bersama Rakyat' ini turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

- Utusan

Fosil Cengkerang Berusia 250j Tahun Ditemui

Selepas penemuan fosil di Mentakab dan Gua Kota Gelanggi, Jerantut, yang menjadi berita penting kepada negara, satu lagi kejayaan besar dicapai apabila penyelidik menjumpai fosil cangkerang dianggarkan berusia 250 juta tahun di Lipis.

Penyelidik Sarjana Sains dari LESTARI, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Rosli Othman berkata, fosil cangkerang itu ditemui di Taman Emas, Lipis, pada satu singkapan batuan yang merupakan tapak cadangan pembinaan perumahan di atas permatang bukit.

Menurutnya, fosil cangkerang itu ditemui dalam pelapisan batu pasir dari jenis cangkerang dwikatup berkulit keras yang lazimnya hidup di persekitaran laut cetek.

Ahmad Rosli, yang juga Pegawai Kajibumi dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, berkata spesies cangkerang dwikatup tersebut termasuklah Costatoria, Noeschizodus dan Entolium.

“Kawasan Kuala Lipis memang mempunyai banyak kawasan berfosil. Dari kawasan inilah rekod fosil terawal didokumentasikan di Malaysia oleh ahli paleontologi dari British, iaitu Newton pada tahun 1900,” katanya.

Menurutnya, fosil menyimpan banyak rahsia alam dan mempunyai nilai saintifik tinggi dan ia dapat menerangkan usia dan persekitaran di mana ia pernah wujud ratusan juta tahun lampau.

“Saya menyarankan tapak penemuan batuan fosil terbabit dapat dipulihara untuk penyelidikan saintifik tempatan dan luar negara menjalankan kajian di kawasan terbabit seperti meletakkan fosil berkenaan di Muzium Warisan Sejarah Lipis.

“Selain itu, tapak berkenaan juga perlu dipelihara agar generasi akan datang dapat belajar sesuatu tentang kehidupan lampau yang sudah lama wujud,” katanya.

Perdaya Gadis 17 Tahun Lakukan Seks

“Saya bukan bomoh, saya pemandu lori,” kata seorang pengamal perubatan tradisional, Azizan Mahadi, 44, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan memperdayakan remaja 17 tahun untuk melakukan persetubuhan haram ketika merawat mangsa, di sini, awal tahun ini.

Bagaimanapun, tertuduh yang berasal dari Kampung Jawa, di sini, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Norsyaridah Awang.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada lapan anak itu didakwa melakukan persetubuhan itu atas dasar kepercayaan sebagai bomoh terhadap mangsa di sebuah rumah di Taman Kapar, di sini, pada Februari dan Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin memohon tertuduh dikenakan ikat jamin RM20,000 kerana dakwaan terhadap tertuduh membabitkan dua pertuduhan dan serius.

Dah 22 Kes Simbah Asid? | Wanita Hati-hati

Polis mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di beberapa lokasi di ibu negara dikenal pasti menjadi tumpuan dua lelaki bermotosikal yang terlibat dalam 22 kes menyimbah cecair dipercayai asid.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan mendapati kebanyakan wanita yang menjadi mangsa diserang semasa bersendirian atau berjalan di laluan tidak sesak menuju ke kawasan letak kereta atau stesen transit aliran ringan (LRT).

"Lokasi yang kerap menjadi sasaran suspek adalah di tepi jalan sekitar kawasan sekolah, tempat letak kereta, stesen LRT dan pondok menunggu bas.

"Polis kini meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di tempat-tempat tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang mendakwa suspek di mahkamah jika ditangkap," katanya di sini hari ini.

Chin Wah berkata, perbuatan tersebut dikesan aktif mulai Februari hingga 27 Mac lalu apabila 18 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh tersebut.

Katanya, kejadian yang reda seketika selepas 27 Mac lalu, didapati berulang kembali pada 6 dan 7 Mei lalu dengan masing-masing dua kes dilaporkan di daerah Sentul dan Dang Wangi.

"Kebanyakan mangsa adalah kalangan wanita yang dalam perjalanan pergi dan pulang bekerja tetapi terdapat juga serangan berhampiran sekolah di sekitar Bangsar dan Brickfields.

"Suspek dipercayai seorang atau dua lelaki berketurunan India bermotosikal yang akan datang dari arah belakang mangsa sebelum bertindak menyimbah sejenis cecair dipercayai 'Alkaline-based' atau 'Oxidizing Agent' ke arah muka atau badan mangsa," katanya di sini hari ini.

Menurut Chin Wah, cecair terbabit memberi kesan gatal kepada mangsa jika terkena kulit tetapi tidak mengakibatkan lecur.

"Orang ramai yang menjadi mangsa atau melihat kejadian itu diminta melaporkan kepada polis di talian 'hotline' 03-21159999 agar tindakan segera dapat diambil untuk mengesan dan menangkap penjenayah terlibat," katanya.

Isnin, 9 Mei 2011

Harga Gula Naik 20 Sen Esok 10 Mei 2011

Baru-baru ni minyak RON97 naik harga. hari ni Ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd Zain Mohd Dom pengumumkan mulai esok (10 Mei 2011) harga gula akan naik 20 sen menjadikan harga sekilogram gula RM2.30.

Harga semasa gula sebelum naik ialah RM2.10 sekilogram. Lepas ni apa barang lagi yang akan naik? Kebiasaannya jika dekat dengan pilihan raya, banyak jer berita yang menggembirakan rakyat.

Jika banyak berita yang kurang gembirakan hati rakyat, bermakna pilihan raya tidak akan diadakan dalam waktu terdekat...hehehe

Anak Kartika Sari dewi Lemas Di Sungai Perak

Akhirnya anak Kartika Sari Dewi ditemui. Seperti yang dijangka anaknya lemas di dalam Sungai Perak. Semoga keluarga Kartika tabah melalui ujian ini. Tuhan lebih menyayangi anak kecil itu.

--------------------------------------------


Anak sulung Kartika Sari Dewi Shukarno, Mohd. Azfar M. Afandi, 9, yang dilapor hilang kelmarin ditemui lemas pagi ini.


Bapa Kartika, Shukarno Abdul Mutalib berkata, mayat cucunya yang menghidap cerebral palsy itu ditemui pukul 1 pagi ini tersangkut di tebing Sunagi Perak, 300 meter dari Resort Lang Buana di Kampung Jawang Karai dekat sini.


Kartika, bekas model pernah mencetuskan kontroversi dengan kes minum arak dan hukuman sebat dua tahun lalu.


- Utusan

-----------------------------------------------

Takziah dan Al-fatihah

Mimpi Aneh Kartika Sari Dewi | Petanda anak Hilang?

“Dua minggu sebelum anak saya hilang, saya mengalami beberapa mimpi pelik termasuk pada kali terakhir tidur bersamanya iaitu malam Jumaat lalu.

“Malah, malam itu, anak saya itu menangis dan meraung menyebabkan saya hairan memandangkan dia tidak pernah berkelakuan sedemikian sebelum ini,” kata Kartika Sari Dewi Sukarno, 33, ibu kepada Muhammad Azfar Muhammad Affandi, 9, kanak-kanak yang hilang dipercayai jatuh ke dalam Sungai Perak tengah hari kelmarin.

Muhammad Azfar adalah anak sulung kepada Kartika, wanita yang mencetuskan kontroversi selepas dijatuhkan hukuman sebat tahun lalu kerana meminum arak.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Muhammad Azfar yang mengalami masalah pertuturan dan kecacatan akal dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya di kediaman inap desa milik keluarganya di Kampung Jawang, di sini ketika menonton televisyen bersama sepupunya yang lain.

Bagaimanapun, kehilangan itu mencetuskan misteri berikutan tiada jejak tapak kaki ditemui.

Malah, kanak-kanak istimewa itu dikatakan keluar dari rumah dengan tidak memakai baju dan hanya berseluar panjang serta berkaki ayam. Malah, kebanyakan pengamal perubatan tradisional yang membuat tilikan mengenai kehilangan kanak-kanak itu mendakwa Muhammad Azfar ‘disembunyikan’ di dalam hutan berhampiran.

Selain itu, usaha mencari dan menyelamat dijalankan 113 anggota dan penyelamat terdiri daripada Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta penduduk kampung juga gagal menemui sebarang jejak hingga petang semalam.

Kartika ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka mimpi pelik dialaminya sepanjang dua minggu lalu adalah petanda kehilangan anak sulungnya itu.

“Saya sering bermimpi ular putih yang bercahaya. Malah, ular itu membelit anak saya sebelum menariknya ke dalam lubang,” katanya.

Katanya, sebelum ini, dia bersama Muhammad Azfar berada di Johor bagi menguruskan persekolahan anak sulungnya itu di sekolah khas.

Beliau berkata, dia mula berada di inap desa milik keluarganya itu sejak sebulan lalu bagi menguruskan usaha membangunkan semula kawasan pelancongan berkenaan.

“Saya harap anak saya selamat ditemui jika hilang di hutan kecil itu. “Saya percaya dia tidak terjatuh ke dalam sungai kerana sepanjang di inap desa ini sejak kecil, anak saya itu tidak berani pergi ke sungai itu.

“Memang dia suka main air, tetapi kami tidak membenarkannya mandi di situ,” katanya.

Menceritakan detik kehilangan anaknya itu, Kartika berkata, ketika kejadian dia di dapur menyiapkan makan tengah hari sementara anaknya bersama anak saudaranya menonton televisyen di dewan.

Katanya, seketika kemudian, semua anak saudaranya pergi ke dapur manakala anaknya dibiarkan seorang diri di dewan.

“Kehilangannya disedari anak saudara saya, Muhammad Ramadan Mohd Ridzwan, 12, selepas gagal menemui kelibat anak saya di dewan itu sekembalinya dari dapur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim ketika dihubungi semalam berkata, operasi mencari dan menyelamat disambung pagi semalam selepas usaha mencari kanak-kanak itu sejak petang kelmarin tidak berhasil.
 
Blogged.my Web Statistics My Ping in TotalPing.com