Entry Terbaru Dari Bawah Tanah

Memaparkan catatan dengan label geng simbah asid. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label geng simbah asid. Papar semua catatan

Sabtu, 14 Mei 2011

Kes Lelaki Simbah Asid | Fotofit Suspek Diedarkan Polis

Polis pada Jumaat mengedarkan fotofit seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes menyimbah cecair untuk membolehkan orang ramai mengenalpasti suspek dan membantu pasukan polis memberkas penjenayah tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata fotofit suspek diperoleh berdasarkan lakaran yang diberikan saksi serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Dengan ada fotofit ini kita berharap, orang ramai akan tampil dan membantu kita untuk menangkap penjenayah ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam polis Kuala Lumpur bersama media di sini, Jumaat.

Sementara itu, pada pagi Jumaat satu lagi perbuatan menyimbah cecair berlaku, kali ini mangsanya ialah seorang wanita berusia 30-an di Seksyen 10 Wangsa Maju, di sini.

Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, wanita berkenaan berada di dalam sebuah kereta dan menurunkan cermin kenderaannya sebelum disimbah cecair oleh seorang penunggang motosikal.

Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Logistik PDRM berkuatkuasa Rabu lepas, berkata wanita tersebut disimbah dengan cecair berkenaan ketika berada di dalam kereta.

Bagaimanapun, cecair itu tidak melecurkan kulit tetapi menyebabkan gatal.

"Polis masih menyiasat sama ada kejadian ini ada kaitan atau persamaan dengan kejadian simbah asid yang dilaporkan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas pertandingan menembak antara media dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis di Jalan Semarak di sini, Jumaat.

Zulkifli berkata setakat ini terdapat 22 kes seumpama itu dan polis akan menyiasat sama ada ia dilakukan oleh individu yang sama atau tidak.

Selasa, 10 Mei 2011

Dah 22 Kes Simbah Asid? | Wanita Hati-hati

Polis mempertingkatkan pemantauan dan pemeriksaan di beberapa lokasi di ibu negara dikenal pasti menjadi tumpuan dua lelaki bermotosikal yang terlibat dalam 22 kes menyimbah cecair dipercayai asid.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, siasatan mendapati kebanyakan wanita yang menjadi mangsa diserang semasa bersendirian atau berjalan di laluan tidak sesak menuju ke kawasan letak kereta atau stesen transit aliran ringan (LRT).

"Lokasi yang kerap menjadi sasaran suspek adalah di tepi jalan sekitar kawasan sekolah, tempat letak kereta, stesen LRT dan pondok menunggu bas.

"Polis kini meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di tempat-tempat tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang mendakwa suspek di mahkamah jika ditangkap," katanya di sini hari ini.

Chin Wah berkata, perbuatan tersebut dikesan aktif mulai Februari hingga 27 Mac lalu apabila 18 kes dilaporkan berlaku dalam tempoh tersebut.

Katanya, kejadian yang reda seketika selepas 27 Mac lalu, didapati berulang kembali pada 6 dan 7 Mei lalu dengan masing-masing dua kes dilaporkan di daerah Sentul dan Dang Wangi.

"Kebanyakan mangsa adalah kalangan wanita yang dalam perjalanan pergi dan pulang bekerja tetapi terdapat juga serangan berhampiran sekolah di sekitar Bangsar dan Brickfields.

"Suspek dipercayai seorang atau dua lelaki berketurunan India bermotosikal yang akan datang dari arah belakang mangsa sebelum bertindak menyimbah sejenis cecair dipercayai 'Alkaline-based' atau 'Oxidizing Agent' ke arah muka atau badan mangsa," katanya di sini hari ini.

Menurut Chin Wah, cecair terbabit memberi kesan gatal kepada mangsa jika terkena kulit tetapi tidak mengakibatkan lecur.

"Orang ramai yang menjadi mangsa atau melihat kejadian itu diminta melaporkan kepada polis di talian 'hotline' 03-21159999 agar tindakan segera dapat diambil untuk mengesan dan menangkap penjenayah terlibat," katanya.
 
Blogged.my Web Statistics My Ping in TotalPing.com