Nama sekolah vokasional akan ditukar kepada kolej vokasional sebagai usaha memantapkan lagi sistem pendidikan negara serta menghapuskan stigma bahawa pengajian vokasional adalah untuk pelajar yang tidak dapat menguasai bidang akademik.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan nama itu akan melibatkan pindaan Akta Pendidikan serta rombakan kursus-kursus teknikal dan vokasional, dengan pelajar yang dikeluarkan tidak terbatas di peringkat sijil kemahiran tetapi merupakan lulusan setaraf diploma atau diploma lanjutan.
Perubahan itu, jelas beliau, sedang dikaji daripada pelbagai aspek termasuk kurikulum, tempoh pembelajaran di kolej serta kursus lanjutan yang boleh ditawarkan.
Menurutnya, ia dilakukan antara lain bagi menghapuskan tanggapan bahawa hanya pelajar yang tidak memperoleh pencapaian cemerlang dalam akademik akan disalurkan ke bidang vokasional dan teknikal.
''Kebiasaannya pelajar akan disalurkan untuk mengambil bidang vokasional dan teknikal kalau mereka tak memperoleh pencapaian cemerlang dalam bidang akademik, maka itulah peluang mereka yang kedua, kalau tak ada peluang lain.
''Ini satu pendekatan yang tidak tepat kerana di negara maju sekalipun aspek vokasional diletakkan sebagai pilihan sama dengan bidang akademik," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata, prestasi setiap pelajar akan dinilai dan jika di peringkat awal lagi seperti ketika di sekolah menengah rendah kecenderungan mereka adalah dalam hal yang tidak terlalu akademik, maka pelajar terbabit akan terus disalurkan ke bidang vokasional dan teknikal.
Jelasnya, kalau pun tidak disalurkan ke sekolah vokasional sepenuhnya, mereka boleh mengikuti kursus pra vokasional dalam sistem pendidikan biasa supaya di peringkat awal lagi mereka dapat mengikuti bidang vokasional dan teknikal yang diminati.
Ditanya kemungkinan kolej-kolej vokasional itu menjalin kerjasama dengan institusi lain, Muhyiddin berkata, ia boleh dilakukan dengan institusi pengajian di negara-negara maju termasuk Eropah menerusi pertukaran pelajar dan tenaga pengajar.
- utusan
Rabu, 11 Mei 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
memang patut ditukar supaya rakyat tidak pandang rendah kepada pendidikan vokasional.....kemahiran amat penting untuk mendapatkan kerja...
Catat Ulasan