Entry Terbaru Dari Bawah Tanah

Rabu, 4 Mei 2011

Rayyan Pelengkap Perkahwinan Imuda Dan Zabarina

KELAHIRAN cahaya mata adalah hadiah paling istimewa dan bermakna bagi setiap pasangan suami isteri sekali gus menguatkan lagi ikatan kasih sayang.

Tanggal 1 April lalu kira-kira jam 7.30 malam, Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur menjadi saksi kelahiran bayi comel lelaki seberat 2.85 kilogram.

Itulah kurniaan Allah buat pelawak Imuda atau Abdul Rahim Muda dan isteri, Zabarina Haja Mushadi Ali, 28, yang diberi nama Muhammad Rayyan Ziqri.

Muhammad Rayyan Ziqri yang bermaksud ‘penjaga pintu syurga’, saling tidak tumpah wajah ayahnya yang juga pelakon sitkom komedi, Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Selepas sebulan usianya, majlis kesyukuran, akikah serta cukur jambul putera kesayangan pasangan itu diadakan di Uban Residence, Gelugor Pulau Pinang milik mentuanya, Haja Mushadi Ali Illias dan isteri, Fathhurrmah Shaik Meera, Sabtu lalu. Ia dihadiri lebih 100 tetamu termasuk saudara-mara serta rakan taulan.

Bagi Imuda, 50, kehadiran Muhammad Rayyan Ziqri atau dipanggil Rayyan menguatkan lagi ikatan kasih sayang selepas mendirikan rumah tangga pada 20 Februari tahun lalu.

Beliau berkata, pertemuan mereka berdua bermula di sebuah kedai makan di Persiaran Gurney Festival sewaktu menjayakan Filem Malaysia Ke-20 (FFM20) yang ketika itu berlangsung di Universiti Sains Malaysia (USM).

“Cinta jarak jauh kami didekatkan lagi dengan kiriman SMS dan panggilan telefon. Akhirnya kami ditakdirkan menjadi pasangan suami isteri dan kenangan itu bertambah indah dengan kelahiran Rayyan, baru-baru ini,” katanya.

Imuda berkata, dia juga mendapat rezeki apabila bakal berpindah rumah baru mereka di Ampang dan kembali dengan produksi terbaru.

“Muzikal Pi Mai Pi Mai Tang Tu akan diarahkan oleh saya dan dipentaskan di Restoran Sri Melayu, KL tidak lama lagi. Semua pelakon utama akan beraksi termasuk beberapa wajah baru, insya-Allah,” katanya.

Selain Rayyan, Imuda ada dua lagi anak hasil perkahwinan pertama dulu iaitu Raihana, 16, dan Mohd Redza, 10.

Sementara itu, Zabarina berkata, kehadiran Rayyan cukup menggembirakan.

Beliau berkata, tiada apa yang mampu dikatakan selain gembira tidak terkata biarpun pada hari kelahirannya, Rayyan terpaksa dimasukkan ke dalam inkubator selama lapan hari kerana demam kuning.

“Rasa kehidupan saya sebagai ibu dan isteri dilengkapkan lagi dengan anak sulung. Kalau ada rezeki saya ingin timang anak seterusnya lagi,” katanya.

2 comments:

mama aini berkata... Reply To This Comment

tahniah utk imuda n wife !!!..semuga mereka akan berbahgia selamanya...suke mama tgk artis2 ni dpt anak..

Ayie berkata... Reply To This Comment

Tahniah kepada mereka.. ^^

 
Blogged.my Web Statistics My Ping in TotalPing.com